GABUNGAN DUA SUMBER TENAGA

PELARASAN harga petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) pada Jumaat lalu mungkin membuatkan ramai mengeluh. Kalau dulu meter di pam minyak menunjukkan antara RM60 dan RM70 paling tinggi untuk pengisian penuh, namun kini ia sudah mencecah melebihi RM100 bagi kenderaan 1.6 liter ke atas. Bagaimana kalau menukar kenderaan hibrid? Ya, harganya mungkin masih mahal dan menjadi cabaran kepada pengeluar kenderaan untuk memastikannya berada di paras harga mampu milik antara RM50,000 dan RM80,000, agaknya sedikit rasional.
Apatah lagi, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, berkata pemegang francais kereta hibrid diberi pengecualian duti import 100 peratus dan duti eksais 50 peratus ke atas kereta hibrid siap pasang (CBU) baru. Malah, dalam Bajet 2009 yang dibentangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun sudah memberikan pengecualian sama supaya pemegang francais berpeluang memasangnya dalam negara.

Berbanding sebelum ini, kenderaan hibrid dikenakan cukai import 260 peratus dan duti eksais antara 60 hingga 105 peratus bagi kereta dari negara Asean dan bukan Asean selain ditambah cukai jualan 10 peratus. Bermakna, tiada lagi alasan yang perlu diberikan pengeluar kereta untuk menghasilkan kenderaan hibrid rakyat mampu milik memandangkan ia teknologi baru yang mengurangkan penggunaan petrol itu.

Di pasaran, terdapat kenderaan hibrid yang dikeluarkan ketika ini adalah dijana gabungan petrol dan elektrik, malah ada juga mengusahakan dua kereta hibrid diesel-elektrik. Ia bukan teknologi baru kerana sudah digunakan dalam beberapa jenis kenderaan seperti lokomotif kereta api yang dijana oleh kuasa elektrik dan diesel selain bas hibrid diesel-elektrik yang mendapatkan bekalan elektrik menerusi wayar. Kapal selam juga adalah kenderaan jenis hibrid kerana dijana oleh gabungan tenaga nuklear dan elektrik atau diesel-elektrik.

Kaedahnya mudah, bagi kereta biasa, pembakaran petrol membekalkan tenaga kepada enjin seterusnya menggerakkan transmisi untuk memusing tayar sementara kereta elektrik pula dilengkapi set bateri yang menyalurkan tenaga elektrik kepada motor elektrik sebelum menggerakkan transmisi. Mudah faham, kereta hibrid adalah gabungan kedua-duanya. Ia akan dijana oleh petrol ketika di awal pergerakan dan apabila sudah mencapai tahap kelajuan tertentu, penjanaan akan diambil alih secara automatik oleh kuasa elektrik yang dibekalkan bateri yang dimuatkan dalam enjin.

Bezaya, enjin kereta hibrid bersaiz lebih kecil dan menggunakan teknologi tinggi dengan motor elektrik yang digunakan juga adalah lebih sofistikated kerana ia turut berfungsi sebagai pengecas bateri apabila kenderaan bergerak. Selain kuasa petrol-elektrik, sistem Sel Bahan Api yang disaksikan menerusi model Chevrolet Equinox menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar yang diasingkan daripada air membolehkan air yang mengandungi hidrogen dan oksigen diasingkan sebelum disalurkan ke kebuk pembakaran.

No comments:

Post a Comment