ISU-ISU

1) MALAYSIA DAN ASEAN MESTI MEMPERCEPATKAN PELAKSANAAN KECEKAPAN  TENAGA BAGI MENGELAK DARIPADA MENJADI “TONG SAMPAH” PRODUK-PRODUK TIDAK CEKAP TENAGA


Pelaksanaan kecekapan tenaga (Energy Efficiency - EE) di seluruh dunia dihadkan oleh pelbagai faktor. Walau bagaimanapun, permintaan sumber tenaga yang semakin meningkat telah menjadi sebab utama yang mendorong pelaksanaan kecekapan tenaga. Tambahan pula, menjadi cekap tenaga bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi tetapi menambah perspektif 'mesra alam' kepada perniagaan. Beberapa negara juga telah memperkenalkan kaedah cukai pelepasan karbon untuk tambah nilai dan mempercepatkan perkembangan bidang EE. AWER telah memilih beberapa ekonomi utama di Asia Pasifik (Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand) dan semua anggota ASEAN bagi tujuan pengumpulan dan analisa data untuk menyediakan status asas pelaksanaan EE merentasi negara-negara ini. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British (British High Commission), Kuala Lumpur.


PENGGUNAAN TENAGA DAN PELEPASAN KARBON

Jadual 1 menunjukkan petunjuk-petunjuk pelepasan karbon bagi negara-negara Asia Pasifik yang terpilih dan ASEAN. Penggunaan tenaga adalah berkadar secara langsung dengan pelepasan karbon dioksida (CO2). Daripada jadual ini, kita dapat lihat bahawa penggunaan tenaga dan pelepasan karbon sesebuah negara berkait rapat dengan tahap pendapatan dan status pembangunannya. Negara-negara maju dan negara-negara berpendapatan tinggi menggunakan lebih banyak tenaga dan elektrik serta menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi. Dasar dan undang-undang EE mesti dirancang dan dilaksanakan dengan teliti kerana tidak semua penyelesaian EE negara maju boleh terus digunakan sebagai 'acuan' dalam ekonomi membangun dan ekonomi kurang membangun.

KERANGKA PERUNDANGAN KECEKAPAN TENAGA

Negara-negara maju mempunyai kerangka undang-undang yang lebih luas melalui pelbagai dasar, undang-undang dan insentif. Brunei, Kemboja, dan Laos masih dalam usaha untuk membangunkan undang-undang yang berkaitan dengan EE. Myanmar pula tidak mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan bidang ini. Secara tidak langsung, negara-negara membangun yang biasanya menjadi hub pembuatan (manufacturing hub) pelbagai industri dari negara-negara maju juga telah menerima pakai dasar-dasar dan undang-undang untuk meningkatkan pelaksanaan EE tempatan. Sebagai contoh, program Top Runner oleh Jepun telah menambah baik prestasi EE untuk pelbagai produk domestik di Jepun dan telah memperkenalkan produk baru kepada dunia dengan harga yang kompetitif. Ini adalah satu contoh terpilih bagaimana program tempatan mempengaruhi pasaran dunia. Negara-negara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan China di mana hub pembuatan elektrik dan elektronik tertumpu juga terpengaruh daripada program sebegini. Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada pentadbiran negara itu sendiri untuk mengikuti perubahan global seperti ini. Di Malaysia, kita masih di peringkat awal pelaksanaan EE. Percanggahan fungsi-fungsi di antara agensi-agensi kekal sebagai penghalang utama dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority - SEDA) telah memburukkan lagi keadaan ini.

STANDARD DAN PELABELAN UNTUK KECEKAPAN TENAGA

Keutamaan perlu diberikan kepada standard dan pelabelan untuk mewujudkan pencapaian EE bagi pelbagai produk, proses dan perkhidmatan. Kegagalan dalam melaksanakan kedua-dua standard dan pelabelan akan menyebabkan dakwaan yang meragukan dan mengelirukan pengguna (termasuk entiti perniagaan). Berdasarkan laporan-laporan terperinci dan kajian kes-kes yang dikaji oleh AWER, kami dapat membuat kesimpulan bahawa gabungan pelabelan secara mandatori dan sukarela (voluntary) serta dengan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) adalah penting untuk menghalang produk tidak cekap tenaga daripada memasuki pasaran. MEPS adalah tahap prestasi minimum yang ditetapkan bagi pelbagai jenis produk. Melalui piawaian mandatori ini, kemasukan produk tidak cekap tenaga ke pasaran dapat dihentikan. Hanya 8 daripada 17 negara yang telah kami kaji telah melaksanakan MEPS. Korea Selatan dan China merupakan ekonomi yang menerajui dalam pelaksanaan MEPS. Malaysia masih TIDAK MEMPUNYAI MEPS sehingga kini.

Pelabelan mandatori biasanya dilaksanakan bagi peralatan dengan penggunaan tenaga yang tinggi atau untuk peralatan yang digunakan dalam kuantiti yang besar atau peralatan yang digunakan untuk satu tempoh masa yang panjang. Korea Selatan telah menerajui amalan pelabelan mandatori bagi membantu pengguna untuk memilih produk-produk yang sesuai. Secara tidak langsung, ia membolehkan pembangunan teknologi produk dan modal insan. Produk yang tertakluk kepada MEPS tetapi tidak tertakluk di bawah pelabelan mandatori boleh dibenarkan untuk menggunakan pelabelan sukarela.

KESIMPULAN
Perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik boleh membantu mempercepatkan pelaksanaan EE di Malaysia dan negara-negara ASEAN. Antara perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera adalah:

i. Mengurangkan jurang di antara peralatan yang mempunyai pelabelan dan yang tiada label serta dengan MEPS di rantau ASEAN. Ini adalah penting untuk mencegah produk tidak cekap tenaga dilonggokan ke negara-negara yang tidak melaksanakan pelabelan dan MEPS.

ii. Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS) Global harus dibangunkan sebagai penanda aras asas (basic benchmark) bagi EE. Setiap negara boleh menerima pakai penanda aras ini dan boleh melaksanakan MEPS yang lebih ketat untuk negara masing-masing. MEPS adalah cara yang paling berkesan untuk menghentikan produk yang tidak cekap tenaga daripada dijual di pasaran dan ia adalah lebih mudah untuk dilaksanakan untuk pelbagai produk dalam tempoh masa yang singkat.

iii. Bilangan negara yang mempunyai program yang khusus untuk menangani isu penggunaan tenaga semasa mod-sedia (stand-by mode) adalah terhad. Dalam dunia teknologi maklumat (IT) dan komputer, penggunaan elektrik semasa mod sedia semakin melonjak. Maka, kumpulan produk ini dan perbangunannya memerlukan fokus yang lebih tinggi.

iv. Petunjuk untuk pemantauan pencapaian EE mesti diseragamkan di peringkat antarabangsa. Ini adalah untuk memastikan semua negara boleh mengambil bahagian dan bersaing secara aktif untuk meningkatkan pencapaian mesra alam. Petunjuk-petunjuk yang berlainan akan menyebabkan perbezaan dalam laporan dan menimbulkan kesulitan untuk memantau pencapaian EE serta ia akan mengelirukan orang ramai dan peniaga dalam mengamalkan EE.

v. Negara-negara membangun mesti memberi tumpuan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi mengelakkan peningkatan penggunaan tenaga seiring dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengoptimuman melalui EE boleh membantu negara-negara membangun untuk mencapai KDNK yang lebih tinggi dengan peningkatan minimum dalam penggunaan tenaga. Langkah sedemikian perlu menjadi sebahagian daripada proses pembangunan. Negara-negara ASEAN tidak seharusnya memulakan pengoptimuman tenaga hanya apabila berada di kemuncak pembangunan ekonomi mereka.
Berdasarkan lengkungan kos pengurangan gas rumah hijau global (Global GHG abatement cost curve), EE berada di bawah sektor tiada pelaburan atau kurang pelaburan. Banyak audit-audit tenaga dan kajian telah memberikan trend yang hampir sama. Ini bermakna bahawa pelaburan dalam bidang EE mempunyai pulangan segera dan tidak membazirkan. Untuk sektor perniagaan, risiko melabur dalam EE adalah agak rendah juga. Meyakinkan orang awam dan perniagaan tentang penjimatan kos dan faedah kepada alam sekitar melalui pelaksanaan EE memerlukan satu pendekatan yang lebih berkesan. AWER telah memulakan proses ini di Malaysia melalui Low CO2 Tool kami, iaitu Tangkap si Pencuri yang membantu sektor domestik, komersial, industri dan lain-lain untuk menjalankan audit tenaga yang mudah. Audit tenaga ini memberi tumpuan kepada penggunaan elektrik untuk mendapatkan kos dan jumlah pelepasan karbon. Ia boleh digunakan secara PERCUMA di www.click.org.my.


2) KESEDARAN MASYARAKAT MALAYSIA TERHADAP PRODUK KECEKAPAN TENAGA                                         

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa menjalankan Program Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga kepada semua golongan rakyat  Malaysia yang meliputi pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, orang awam dan juga untuk pihak industri.

Tetapi, daripada pemerhatian sebagai penceramah saya mendapati bahawa kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk kecekapan tenaga yang ada dalam pasaran tempatan dan mahupun dunia adalah kurang jika membandingkan negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Amerika dan lain-lain.

Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah mengiktiraf banyak produk elektronik yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit dalam melakukan kerja. Contohnya, televisyen, peti sejuk, kipas, penghawa dingin dan lain-lain. Kesemua barangan elektrik yang diiktiraf sebagai produk kecekapan tenaga dilabelkan dengan barisan bintang di mana 1 bintang mewakili kurang cekap tenaga hingga 5 bintang menunjukkan produk yang paling cekap tenaga. Label bintang biasanya akan dipamerkan di hadapan produk tersebut.

Apabila penceramah melontarkan soalan berkaitan dengan label kecekapan tenaga ini, 92 peratus daripada para hadirin memberi jawapan tidak tahu apakah maksud label tersebut dan tidak pernah melihat sebelum ini. Ada di antara para hadirin mengaku jika hendak membeli barangan elektrik yang baru, mereka hanya memikirkan harga produk dan jenama sahaja. Mereka tidak pernah mengambil tahu tentang butiran maklumat yang tertera di produk seperti berapa Walt (W) yang digunakan, Arus (A), Voltan (V) dan sebagainya.

Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya mengambil tahu butiran-butiran tersebut untuk mengenal pasti produk tersebut cekap tenaga atau tidak. Oleh itu, sebelum kita membeli sesuatu produk elektronik, kita seharusnya merancang dan meneliti kegunaan produk tersebut dan memastikan produk tersebut dilabelkan dengan logo kecekapan tenaga.


3) JOM SELAMATKAN BUMI DENGAN JIMAT TENAGA

MANILA: Kerajaan Filipina yang berdepan masalah kekurangan tenaga elektrik berikutan musim kemarau akan meminta pusat beli-belah dan kilang menutup operasi selama beberapa hari bagi memastikan bekalan tidak terganggu pada pilihan raya umum 10 Mei depan. Setiausaha Tenaga, Jose Ibazeta, berkata mesin pengimbas akan digunakan untuk kali pertama bagi mengira undi secara elektronik, tetapi sebilangan pemerhati melahirkan kebimbangan ia mungkin gagal dilakukan jika bekalan elektrik terputus. – AP


4) PROJEK HIDRO ELEKTRIK BAKUN : PROJEK KABEL DASAR LAUT JAMIN BEKALAN ELEKTRIK CUKUP


KUALA LUMPUR – Penyaluran bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun, Sarawak ke Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut adalah penting bagi menjamin bekalan elektrik yang mencukupi, berdaya harap dan pada harga yang berpatutan kepada pengguna di Semenanjung. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, ia juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang membekalkan lebih 90 peratus daripada keperluan elektrik di Semenanjung pada masa kini.

“Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan dan harga bahan api ini selain boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung.  “Selain itu, analisis yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kos untuk mendapatkan bekalan elektrik dari Bakun bagi tempoh jangka panjang adalah lebih rendah daripada kos mendapatkan bekalan elektrik daripada loji-loji janakuasa gas dan arang batu,” katanya.

Chin menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu apakah keperluan projek itu dan antara usaha kerajaan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik.  Beliau berkata, projek bernilai hampir RM10 bilion itu dijangka siap pada 2012 dan bakal menyalurkan 1,700 megawatt bekalan elektrik ke Semenanjung. Katanya, kadar simpanan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada ketika ini ialah sekitar 50 peratus, Sabah 7 peratus dan Sarawak 30 peratus.


“Pelbagai program kecekapan tenaga telah dan sedang dijalankan yang menyasarkan pelbagai kategori pengguna elektrik termasuklah industri yang berintensif tenaga dan pengguna-pengguna domestik.  “Antara usaha yang dijalankan ialah mengadakan kempen kesedaran iaitu Energy Month (Bulan Tenaga) untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan kecekapan tenaga,” katanya.  Selain itu, katanya, kerajaan juga menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai jualan dan duti import bagi peralatan cekap tenaga yang digunakan serta elaun cukai pelaburan bagi syarikat yang menjalankan usaha kecekapan tenaga. – Sinar

5) CENTRE FOR EDUCATION AND TRAINING IN RENEWABLE ENERGY AND ENERGY EFFICIENCY (CETREE)

Projek ini merupakan kesinambungan Projek Centre for Education and Training for Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan kerjasama DANIDA di bawah Malaysia-Danish Environmental Cooperation Programme mulai tahun 2000. Projek ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan serta penggunaan tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dalam bidang pendidikan. Melalui projek ini, konsep tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dapat diterapkan dalam aktiviti kurikulum di peringkat sekolah dan universiti.

CETREE telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia menganjurkan tiga (3) pertandingan berkaitan tenaga diperbaharu dan kecekapan tenaga, iaitu kereta suria  (Solar Car), memasak dengan dapur suria (cooking with nature) rumah cekap tenaga tepi pantai (RE & EE Beach House). Selain tiga (3) pertandingan tersebut, permainan dalaman (indoor games) turut dianjurkan bersama-sama dengan pameran dalaman yang julung kalinya dilaksanakan oleh CETREE. Pameran utama CETREE iaitu van tenaga oleh unit pameran bergerak turut diadakan.

CETREE juga mengadakan kempen mengenai kecekapan tenaga menerusi akhbar tempatan. Informasi yang diterbitkan ialah mengenai pemilihan peralatan cekap tenaga yang menjimatkan seperti peti sejuk, penyaman udara, seterika, cerek elektrik dan lampu.

Pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dari seluruh negara juga turut mengadakan lawatan sambil belajar ke CETREE. Setakat ini, bilangan pelajar yang telah melawat CETREE ialah 8,260 dan bilangan guru dan pensyarah ialah 1,714 orang. Bilangan orang awam pula ialah seramai 14,109. CETREE kini menyediakan laman web interaktif untuk menyebarkan informasi berkaitan  Kecekapan Tenaga (KT) dan Tenaga Diperbaharui (TD).                                                                                               (Sumber:http://www.kettha.gov.my)



6) TENAGA BOLEH BAHARUI


Selaras dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) (2001-2010) dan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) untuk mengalak dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharu (RE), maka Kerajaan telah merangka beberapa strategi bagi memantap dan membangunkan penggunaan RE sebagai sumber tenaga kelima (5) negara.

Bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), Kerajaan telah menetapkan sasaran penjanaan tenaga elektrik secara gridconnected menggunakan sumber- sumber RE seperti seperti biomass, biogas, mini-hidro, angin, solar dan municipal waste pada kapasiti 350MW iaitu melibatkan 300MW di Semenanjung Malaysia dan 50MW di Sabah.

Kerajaan sentiasa komited untuk mempastikan kejayaan pembangunan RE di Malaysia khususnya melalui pelaksanaan program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (Small Renewable Energy Programme - SREP) yang diperkenalkan pada tahun 2001. Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan bertujuan menarik minat pemaju-pemaju projek RE untuk melibatkan diri secara aktif dalam sektor ini seperti penubuhan infrastruktur untuk pembangunan RE, merangka program-program bagi pembangunan industri & pasaran RE dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.                        (Sumber:http://www.kettha.gov.my)




7) MALAYSIAN ENERGY EFFICIENCY IMPROVEMENT PROGRAMME (MIEEIP)


Projek ini adalah sambungan bagi projek yang dilaksanakan secara kerjasama antara Kerajaan Malaysia, Global Environmental Facility (GEF) dan United Nations Development Programme (UNDP) dengan pembiayaan daripada pihak industri bekalan elektrik melalui Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE). Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) merupakan agensi penyelaras bagi projek ini manakala Pusat Tenaga Malaysia pula merupakan agensi pelaksana. Projek ini telah dilanjutkan tempoh pelaksanaannya sehingga Jun 2007 untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti tambahan yang telah dikenalpasti termasuk pelaksanaan audit tenaga bagi tiga (3) sektor tambahan yang berintensifkan tenaga iaitu plastik, oleokimia dan petroleum.

Energy Efficiency and Conservation Guidelines yang dibangunkan bersama oleh  Suruhanjaya Tenaga dan Pusat Tenaga Malaysia telah siap pada tahun 2006 dan dijadualkan pelancarannya pada tahun 2007. Garis Panduan tersebut bertujuan memberi panduan kepada pihak industri untuk menguruskan tenaga elektrik dengan lebih cekap dan memilih best practice yang sesuai dalam penyelenggaraan peralatan dan kelengkapan elektrik di kilang/premis  masing-masing.

Di bawah Energy Audit Programme pula pasukan MIEEIP membuat analisis  terhadap audit yang dilaksanakan oleh ESCOs (Energy Services Company) dalam sektor tekstil dan plastik yang bertujuan meningkatkan lagi kecekapan penggunaan tenaga dalam sektor industri. Projek Heveaboard adalah projek penjimatan tenaga berdasarkan Energy Performance Contracting antara sebuah ESCO dan satu kilang. Melalui projek tersebut, kilang tersebut berjaya menjimatkan sehingga RM70,000.00  sebulan daripada bil elektriknya.

Selain itu, MIEEIP Newsletter telah diterbitkan setiap suku tahun dan diedarkan kepada pihak industri sebagai usaha untuk menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga dalam sektor tersebut.(Sumber:http://www.kettha.gov.my)


8) KECEKAPAN TENAGA

Bangunan LEO (Low Energy Office) di Putrajaya telah mula didiami sejak tahun 2004. Sejak itu pengurusan tenaga bangunan telah dilaksanakan. Indeks penggunaan tenaga (building energy index) pada tahun 2005 ialah 114 kWj/m2/tahun tetapi indeks tersebut telah menurun kepada 104 kWj / m2 / tahun pada tahun 2006. Audit tenaga telah dilaksanakan ke atas Bangunan Blok E6, Kementerian Kesihatan dan Bangunan Blok B6, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Audit tersebut menunjukkan bahawa indeks tenaga di bangunan LEO lebih rendah dari bangunan konvensional.

Demi berkongsi pengalaman mengenai Bangunan LEO dan pengurusan kecekapan tenaga, KTAK telah menganjurkan dua (2) seminar, iaitu Seminar on Energy Efficiency in Buildings - How To Achieve Immediate Savings di Kuala Lumpur dan KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt di Putrajaya. Seminar on Energy Efficiency in Buildings disasarkan untuk agensi dan jabatan Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemilik dan penyelenggara bangunan serta badan profesional dalam industri tenaga. Seramai 200 peserta telah menghadiri Seminar tersebut. Seminar KTAK Low Energy Office: Lessons Learnt pula dihadiri 300 orang peserta yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan sektor swasta.

Dengan adanya program-program kesedaran sedemikian, KTAK berharap dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di kalangan anggota masyarakat. Aktiviti-aktiviti lain yang terus dilaksanakan di bawah projek ini adalah seperti memantau indeks penggunaan tenaga secara bulanan, menerima kunjungan pelawat serta menyampaikan taklimat mengenai Bangunan LEO dan menyediakan risalah mengenai Bangunan LEO. Bangunan LEO KTAK juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Energy Efficient Building Best Practices Peringkat ASEAN Tahun 2006 di bawah kategori “bangunan baru dan telah sedia ada.” Anugerah tersebut telah disampaikan dalam satu majlis khas yang telah diatur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-24 di Vientiane, Lao PDR. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi telah menerima anugerah tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia.(Sumber:http://www.kettha.gov.my)


9) PUPUK TABIAT JIMATKAN PENGGUNAAN TENAGA SEMENJAK KECIL LAGI

Pemikiran kanak-kanak muda diibaratkan sebagai sekeping kertas putih. Sebarang maklumat yang diberikan kepada mereka secara berulang kali akan kekal dalam sanubari mereka dan akan berkekalan seumur hidup. Jika tabiat baik ingin dipupuk dalam diri mereka, maka ia hendaklah dilakukan semenjak mereka kecil lagi.

Banyak kajian telah dijalankan tentang perkembangan badan dan minda, tabiat dan tingkah laku kanak-kanak. Misalnya kajian yang dilakukan oleh  ’Institute for the Study of Child Development,  Department of Pediatrics at UMDNJ-Robert Wood Johnson Medical School’ dan ‘Department of Pediatric Dentistry, School of Dentistry, Aichi-Gakuin University, Nagoya, Japan’ dan banyak lagi di negara-negara lain. Secara amnya, semua kajian ini merujuk kepada pembentukan tabiat dalam kalangan anak-anak muda, khususnya dari umur 2 hingga 6 tahun.

Ibu bapa hendaklah memikul tanggungjawab untuk memupuk tabiat kecekapan dan penjimatan tenaga dalam kalangan anak-anak mereka. Kanak-kanak belajar dengan memerhatikan tindak tanduk ibu-bapa mereka dan mengikut jejak langkah mereka mengikut pemerhatian itu. Jika para ibu bapa ingin memberikan pengajaran ini kepada anak-anak mereka, maka mereka juga haruslah mempraktikkan amalan ini terlebih dahulu untuk dicontohi oleh anak-anak mereka.

Guru-guru di sekolah pula berperanan sebagai ibu bapa kedua bagi kanak-kanak. Tugas guru-guru adalah untuk memupuk tabiat kecekapan dan penjimatan tenaga semasa di sekolah. Pengajaran yang efektif adalah hasil gabungan pengajaran dari segi teori dan juga praktikal. Kementerian Pelajaran Malaysia juga harus memberi tumpuan yang serius kepada aspek pendidikan kecekapan dan penjimatan tenaga untuk kanak-kanak mulai sekarang dengan menyediakan sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Malah kesannya akan dirasai jika pendidikan tentang kecekapan dan penjimatan tenaga dapat dipupuk semenjak peringkat tadika lagi!

Malaysia memerlukan generasi yang akan mendorong dan memajukan teknologi hijau untuk menangani masalah iklim dunia. Jikalau objektif ini hendak dicapai, di manakah ia harus dimulakan? Titik permulaannya adalah dengan menyemai sikap kecekapan dan penjimatan tenaga dalam diri seseorang individu. Sebagai langkah untuk memupuk tabiat kecekapan dan penjimatan tenaga di kalangan anak-anak muda, Kempen SWITCH yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia pada tahun 2010 di seluruh Malaysia untuk mendidik kanak-kanak memupuk tabiat kecekapan dan penjimatan tenaga.

Kempen tersebut mendapat sambutan baik dan telah menolong segolongan besar kanak-kanak sekolah untuk memupuk tabiat kecekapan dan penjimatan tenaga. Memang sebaik-sebaiknya tabiat untuk memupuk kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga dimulakan sewaktu di peringkat usia muda lagi untuk mendapatkan kesan yang lebih baik, sepertimana pepatah Melayu, ’Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.Kanak-kanak merupakan penerus bagi generasi pada masa ini. Oleh itu pendidikan awal kecekapan dan penjimatan tenaga kepada mereka amat wajar sekali. Contoh-contoh kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga yang boleh diajar kepada kanak-kanak adalah seperti berikut;

Ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka untuk menutup lampu bilik apabila tidak digunakan. Cara menutup suis juga perlu ditunjukan bagi pendedahan praktikal.Ibu bapa menasihatkan anak mereka untuk menutup kipas angin dan menunjukkan caranya juga.Mengajar mereka cara untuk memperlahankan kipas angin untuk mengelakkan penggunaan tenaga secara berlebihan.Pelbagai contoh lain boleh difikirkan untuk membantu kanak-kanak menyemai sikap kecekapan dan penjimatan tenaga.     - Konsumerkini


10) ALAT PENJIMATAN TENAGA ATAU ENERGY SAVING DEVICE (ESD)

Pengiklanan dan penjualan ‘alat penjimatan tenaga’ atau ‘energy saving device’ (ESD) kepada orang awam telah menimbulkan banyak kekeliruan.Banyak aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Tenaga dan juga persatuan-persatuan pengguna menunjukkan bahawa pengguna-pengguna tidak berpuas hati dengan dakwaan yang dibuat oleh penjual-penjual oleh kerana ESD ini didapati tidak menghasilkan penjimatan tenaga seperti yang diiklankan.Suruhanjaya Tenaga menjelaskan ESD sebenarnya tidak boleh menjimatkan tenaga atau bil elektrik dengan ketara.Alat plug-and-play ini jika terdapat penjimatan sekali pun, nilai penjimatannya hanyalah antara 1% – 3% sahaja, tidak seperti yang diiklankan oleh kebanyakan penjual antara 20% hingga 40%. Pada dasarnya komponen utama di dalam ESD ialah kapasitor yang bersifat boleh meningkatkan faktor kuasa (power factor). Faktor kuasa yang rendah boleh menyebabkan arus elektrik menjadi lebih tinggi dan arus yang lebih tinggi boleh menyebabkan kehilangan kuasa dalam sistem pendawaian antara 1% hingga 3%. Pemasanan ESD boleh meningkatkan faktor kuasa, mengurangkan arus elektrik dan sekali gus mengurangkan kehilangan kuasa dalam sistem (pada kadar antara 1%- 3%). Ini bermakna penjimatan pada bil jika ada adalah kurang dari 3%, dan bukan sehingga 40% seperti diiklankan.
Sebagai panduan kepada pengguna, Suruhanjaya Tenaga telah membuat pengiklanan (advertorial) menerusi akhbar Utusan Malaysia pada 8/12/2011 dan akhbar Berita Harian pada 10/12/2011.  Berikutan dengan pengiklanan itu, pihak akhbar telah menyiarkan berita-berita susulan yang bersifat kesedaran kepada pengguna.Pengiklanan ini menjelaskan bagaimana kapasitor yang merupakan komponen asas gajet tersebut berfungsi. Selain dari itu, kaedah penjimatan yang sebenar seperti tidak membiarkan alat-alat elektrik yang tidak digunakan sentiasa terpasang, menggunakan kelengkapan elektrik yang cekap tenaga, dan menggunakan pencahayaan dan pengudaraan alam mengantikan lampu dan penghawa dingin, dijelaskan.Langkah kesedaran pengguna mengenai ‘ESD’ ini telah menghasilkan impak yang besar di kalangan pengguna yang kini telah lebih memahami kaedah penjimatan tenaga sebenar.  - (Sumber: http://peterchin.my )

11) PENGGUNA PERLU DIGALAK MEMINIMUMKAN TENAGA

KEMENTERIAN Tenaga, Air dan Komunikasi buat pertama kali memperkenalkan Bulan Tenaga dengan memperkenalkan logo, tema dan maskot ketika pelancarannya, 1 November lalu. Dengan temanya, Cekap Tenaga Amalan Kita, fokus utama program itu lebih terarah kepada mendidik dan mendedahkan pengguna kepada aspek kecekapan dan penjimatan tenaga.

Saya berpendapat program itu masih tidak mencapai sasaran, terutama kategori pengguna tenaga elektrik rendah, iaitu isi rumah dan peniaga sama ada pengguna kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lot kedai sebagai premis dan perniagaan. Pengguna biasanya disaran dan didedahkan dengan amalan penjimatan tenaga, tetapi tidak didedahkan kepada aspek kecekapan penggunaan tenaga.

Bagaimanapun, pengguna komersial dan industri lebih terdedah kepada isu kecekapan tenaga (Power Factor-PF) kerana termaktub di dalam tarif elektrik, mereka dikenakan penalti sekiranya PF rendah daripada paras 0.85. Tambahan pula, sekiranya mereka menggunakan meter baru bersifat digital yang membolehkan nilai PF dibaca berbanding jenis meter lama bersifat analog, ada kemungkinan nilai PF akan dinaikkan ke paras 0.90 pada masa akan datang.

Bagi mengelak penalti dan meningkatkan kecekapan supaya sentiasa melebihi paras 0.85, pengguna komersial dan industri memasang alat kecekapan tenaga, Regulator kecekapan tenaga atau 'capacitor bank' yang harganya puluhan ribu ringgit.Oleh kerana pengguna isi rumah dan peniaga di premis lot kedai tidak dikenakan penalti PF rendah, maka ramai pengguna tidak tahu sama ada mereka menggunakan tenaga elektrik secara cekap atau tidak. Malah peniaga yang dikenakan penalti PF rendah pun kadangkala tidak tahu apa sebenarnya PF dan tidak dimaklumkan apa tindakan yang perlu diambil bagi meningkatkan PF dan mengelak dikenakan penalti setiap bulan. Dalam hal ini media atau syarikat pembekal sendiri tidak banyak mendedahkan isu ini untuk pengetahuan pengguna.

PF rendah kerana adanya tenaga reaktif (Y) yang berpunca daripada peralatan yang menggunakan motor (induktif dan penyimpanan tenaga) dan ia adalah pembaziran kepada pengguna dan juga syarikat pembekal elektrik. Pengguna pula dikenakan bayaran terhadap tenaga nyata.Alat Regulator kecekapan tenaga berfungsi menghapuskan tenaga reaktif dan sekali gus meningkatkan PF mendekati 1.0 (tahap sempurna). Majoriti pengguna menggunakan tenaga elektrik untuk menjalankan peralatan yang bersifat induktif dalam jangka masa panjang seperti lampu kalimantang, kipas, pendingin hawa, peti sejuk dan pam.
Realitinya, ada lebih 10 jenama alat peningkatan kecekapan tenaga dipasarkan di negara ini, sama ada diimport atau buatan syarikat tempatan. Bagaimanapun, alat yang sesuai di premis rumah, lot kedai, pejabat atau PKS adalah yang dapat meminimumkan tenaga reaktif pada peralatan kita. Pihak yang berwajib perlu memaklumkan kepada pengguna alat yang sesuai dan ekonomik serta dibenarkan dipasang di premis pengguna demi menyahut kempen kerajaan meningkatkan kecekapan tenaga elektrik dan secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah atau perniagaan.                                           - Berita Harian


12) AKTIVITI KESEDARAN KECEKAPAN TENAGA DAN AUDIT TENAGA

Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga DiPerbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT) CETREE, Universiti Sains Malaysia berperanan untuk meningkatkan kesedaran umum masyarakat di Malaysia terhadap ciri-ciri sosial komuniti yang positif berkenaan Kecekapan Tenaga. Ciri-ciri sosial yang positif akan memupuk sesuatu komuniti mengaplikasikan amalan Kecekapan Tenaga dalam kehidupan seharian.

Isu Kecekapan Tenaga adalah sangat penting bagi membantu kerajaan dalam usaha bagi mendidik komuniti tersebut menggunakan sumber tenaga seminima yang mungkin. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi menjimatkan penggunaan bahan api (minyak,gas dan arang batu) yang semakin susut bekalannya di Malaysia. Malahan pula,bagi mewujudkan satu mekanisma pemindahan ilmu dan komunikasi yang strategik, maka tumpuan yang disasarkan ialah pelajar dan kakitangan Institut pendidikan Guru Wilayah Utara untuk memahami dan memberi sokongan terhadap perancangan negara, program-program pendidikan, latihan dan kesedaran tentang Kecekapan Tenaga adalah amat diperlukan.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyemai tabiat menggunakan tenaga secara bijaksana dan berkesan. Program-program yang akan dilaksanakan di tiga buah Institut Pendidikan Guru iaitu Kampus Perlis, Kampus Darulaman dan Kampus Temenggong Ibrahim selama 1 tahun secara berperingkat-peringkat. Objektif Utama program ini adalah untuk menyemai amalan baik tentang penggunaan tenaga dengan cekap di kalangan guru dan kakitangan Institut Pendidikan Guru Wilayah Utara.

Dalam Program Kesedaran dan Kecekapan Tenaga ini, penjimatan elektrik dapat dicapai dengan kaedah pemindahan ilmu yang melibatkan “Best Practices” dan “Good Housekeeping”. Program ini dijangka mampu menghasilkan penjimatan tenaga  sebanyak 10% jika warga IPG mengamalkan “Best Pratices” dan “Good Housekeeping”.



13) KESEDARAN MASYARAKAT MALAYSIA TERHADAP PRODUK KECEKAPAN TENAGA

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa menjalankan Program Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga kepada semua golongan rakyat  Malaysia yang meliputi pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, orang awam dan juga untuk pihak industri.

Tetapi, daripada pemerhatian sebagai penceramah saya mendapati bahawa kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk kecekapan tenaga yang ada dalam pasaran tempatan dan mahupun dunia adalah kurang jika membandingkan negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Amerika dan lain-lain.

Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah mengiktiraf banyak produk elektronik yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit dalam melakukan kerja. Contohnya, televisyen, peti sejuk, kipas, penghawa dingin dan lain-lain. Kesemua barangan elektrik yang diiktiraf sebagai produk kecekapan tenaga dilabelkan dengan barisan bintang di mana 1 bintang mewakili kurang cekap tenaga hingga 5 bintang menunjukkan produk yang paling cekap tenaga. Label bintang biasanya akan dipamerkan di hadapan produk tersebut.

Apabila penceramah melontarkan soalan berkaitan dengan label kecekapan tenaga ini, 92 peratus daripada para hadirin memberi jawapan tidak tahu apakah maksud label tersebut dan tidak pernah melihat sebelum ini. Ada di antara para hadirin mengaku jika hendak membeli barangan elektrik yang baru, mereka hanya memikirkan harga produk dan jenama sahaja. Mereka tidak pernah mengambil tahu tentang butiran maklumat yang tertera di produk seperti berapa Walt (W) yang digunakan, Arus (A), Voltan (V) dan sebagainya.

Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya mengambil tahu butiran-butiran tersebut untuk mengenal pasti produk tersebut cekap tenaga atau tidak. Oleh itu, sebelum kita membeli sesuatu produk elektronik, kita seharusnya merancang dan meneliti kegunaan produk tersebut dan memastikan produk tersebut dilabelkan dengan logo kecekapan tenaga.


14) PENGGUNA JANGAN TERPEDAYA DENGAN ALAT PENJIMATAN TENAGA: SURUHANJAYA TENAGA

KEPALA BATAS: Pengguna di negara ini dinasihati agar tidak terpengaruh dengan alat penjimatan elektrik yang didakwa dapat menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 40 peratus.

Ketua Kawasan Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah, Perlis) Md Zakuan Ibrahim berkata dakwaan itu tidak tepat dan Suruhanjaya Tenaga telah menarik balik perakuan sejak tiga bulan lepas. "Perakuan yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga hanyalah dari aspek keselamatan dan bukannya dari aspek penjimatan penggunaan tenaga elektrik. Ini mengelirukan pengguna.

"Alat itu hanya menjimatkan penggunaan tenaga antara satu hingga lima peratus sahaja bukan 40 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Bersama Pemimpin Komuniti Peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau juga meminta pengguna membuat laporan kepada suruhanjaya itu jika masih ada syarikat menjual peralatan sedemikian. "Pihak kami akan memanjangkan aduan itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut, kerana tiada peruntukan khusus di bawah suruhanjaya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit," katanya.

Beliau berkata alat itu yang sudah berada di pasaran sejak 10 tahun lepas dijual pada harga antara RM200 hingga RM400.

 
15) APA ITU CETREE?

CETREE adalah "Organisasi ini diwujudkan atas kesedaran kerajaan dalam memainkan peranannya dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peranan tenaga yang diperbaharui dan kecekapan tenaga kepada golongan professional, sekolah, institusi pengajian tinggi, sekolah dan juga terhadap orang awam di Malaysia yang merupakan salah satu teras daripada dasar Teknologi Hijau Negara"

Penubuhan CETREE merupakan hasil persetujuan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Kementerian ini ditubuhkan atas hasil kesedaran kerajaan dalam menangani isu-isu global semasa seperti pencemaran alam sekitar, pemanasan global, penipisan lapisan ozon dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Fungsi kementerian ini adalah bertanggungjawab dalam merancang dan melaksana dasar dan program teknologi hijau. Disamping itu juga, kementerian ini bertanggungjawab dalam mentabdir, mengawalselia serta menguruskan hal-hal yang berkaitan tenaga, teknologi hijau dan air di Malaysia.

Penubuhan CETREE juga adalah selaras dengan teras strategik dalam Kementerian Tenaga,Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). CETREE yang bernaung di bawah kementerian ini telah menjalankan tugasnya selaras dengan visi dan misi kementerian tersebut. Organisasi yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) ini telah melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT) yang disokong oleh polisi kerajaan dan dinyatakan dalam dokumen perancangan rasmi seperti Rancangan Malaysia Kelapan dan Rancangan Rangka Perspektif. Kedua-dua rancangan ini telah menyatupadukan TD dan KT sebagai elemen yang penting dalam membangunkan Negara. TD merupakan satu elemen yang signifikan dalam keseluruhan sektor tenaga sebagai sumber bahan api kelima Negara. Melalui polisi kerajaan terhadap KT adalah ingin meyatupadukan kecekapan tenaga sebagai unsur utama dalam keseluruhan senario tenaga di Negara ini.

Hasil dari teras yang dimajukan oleh KeTTHA ini dalam menubuhkan agensi teknologi hijau dalam menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program teknologi yang efektif. CETREE telah memainkan peranannya sebagai saluran dalam menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang teknologi hijau,tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga. Sehingga kini CETREE telah berjaya menempa kejayaan sebagai salah sebuah pusat penyelidikan dan pendidikan TD dan KT disamping memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat. Selain itu, CETREE juga telah memperkenalkan van dan bas teknologi hijau yang menggunakan sumber-sumber tenaga diperbaharui sebagai ikon CETREE dalam menjalankan kempen kesedaran TD dan KT di seluruh Negara.