PRODUK CEKAP TENAGA BANTU KURANG KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Perubahan dalam gaya hidup dapat membantu pengguna mengimbangi kenaikan kos sara hidup harian yang naik mendadak sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi dengan kenaikan tinggi harga bahan api yang diumumkan kerajaan baru-baru ini. Bagaimanapun, perubahan ini lebih mudah dilaksanakan dengan bantuan teknologi. "Kebanyakan daripada kita tidak dapat berubah kerana kita selesa dengan tabiat harian. Meskipun begitu, sudah sampai masanya untuk kita memulakan langkah bagi mengubah kepada sesuatu yang lebih baik. "Ini akan memberikan impak jangka masa panjang dalam menangani kos harian serta perubahan kepada cara hidup lestari," demikian menurut Piarapakaran Subramaniam, Pengurus Bahagian Alam Sekitar, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA).

Satu daripada perubahan gaya hidup yang amat perlu diamalkan sekarang ialah penjimatan tenaga. "Apabila kita mengurangkan bil bahan api atau elektrik, kita sebenarnya telah memainkan peranan untuk membantu memelihara bumi. "Dalam satu abad ini banyak berlaku pencairan ais di kutub, peningkatan suhu purata bumi yang mendadak dan kenaikan aras laut," jelas Piarapakaran. Kebanyakan rumah dan pejabat, tambahnya masih menggunakan tenaga daripada stesen janakuasa berasaskan karbon (seperti diesel dan gas asli) yang melepaskan banyak gas karbon dioksida (gas rumah hijau).

Menurut Piarapakaran, antara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat pengguna negara ini ialah pembelian produk "cekap tenaga" yang bukan sahaja mesra alam bahkan tahan lama. "Kecekapan tenaga dicapai apabila produk dengan kapasiti kerja yang sama menggunakan tenaga yang rendah untuk operasi. Ini adalah satu langkah yang kecil tetapi besar maknanya untuk perubahan kepada cara hidup kita," tambahnya. Ada pengguna yang mempunyai persepsi yang salah mengenai penggunaan produk kecil. Jelasnya, produk kecil seperti lampu floresen bukan sahaja jimat tenaga malah mengurangkan pelepasan karbon. "Ada di antara barangan ini yang bukan sahaja cekap tenaga tetapi juga mempunyai jangka hayat operasi yang lebih lama berbanding produk biasa. Ini membantu mengurangkan permintaan bahan mentah bagi sektor pembuatan.

No comments:

Post a Comment