TIP PENJIMATAN TENAGA

RUANG DAPUR
Anda sedia maklum bahawa sebahagian besar tenaga elektrik iaitu hampir 40% digunakan di ruang dapur. Tahukah anda di rumah kos sederhana, anda boleh menjimatkan sehingga 10 % atau RM78 setiap tahun dengan menggunakan peralatan elektrik cekap tenaga di dapur.

PETI SEJUK DAN PENYEJUK BEKU
Ia adalah peralatan elektrik yang paling mahal kos pembiayaannya di rumah kerana digunakan sepanjang hari. Oleh itu potensi penjimatan tenaga bagi peti sejuk adalah tinggi. Kos penggunaan yang rendah bagi peti sejuk dan penyejuk beku baru yang cekap tenaga biasanya boleh menampung kos penggantian peralatan lama yang tidak cekap tenaga.

A. Panduan Membeli

Peti Sejuk
• Pilih saiz peti sejuk yang menepati keperluan keluarga. Peti sejuk 550W akan menggunakan tenaga elektrik yang bernilai RM22.50 sebulan. Elakkan daripada membeli peralatan yang bersaiz terlalu besar.
• Jangan lupa untuk mengenal pasti Energy Efficiency Ratio (EER) bagi peti sejuk. Data pada plat nama akan memberikan maklumat tentang penggunaan kuasa bagi peti sejuk.

Penyejuk Beku
Penyejuk beku jenis tegak menggunakan lebih banyak tenaga berbanding peti penyejuk jenis peti. Purata kos elektrik penggunaan penyejuk beku jenis peti dan jenis tegak ialah masing-masing RM10 dan RM14 sebulan.

B. Panduan Pemasangan

Peti sejuk dan penyejuk beku akan membebaskan haba ketika operasi penyejukan muatannya. Haba ini perlu dinyahkan kerana jika tidak, kompresor bagi peti sejuk dan penyejuk beku ini akan beroperasi lebih lama. Ini menyebabkan ia menjadi terlebih panas dan akan memendekkan jangka hayatnya. la juga akan menggunakan lebih banyak elektrik dan akan lebih cepat rosak. 
Perkara yang perlu diambil kira untuk pemasangan peti sejuk dan penyejuk beku: 
• peti sejuk tidak seharusnya diletakkan di tempat yang panas seperti di tempat yang terdedah kepada pancaran terus matahari atau berhampiran dengan dapur memasak 
• ruang disediakan di sekeliling peti sejuk termasuk di bahagian atas, belakang dan tepi bagi membolehkan pengaliran udara

C. Panduan Operasi Dan Penyelenggaraan

Peti Sejuk
• Apabila hendak meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang kosongkan dan cuci peti ais. Tutupkan suis dan biarkan pintunya terbuka.
• Pastikan gelung kondenser sentiasa bersih. Habuk dan kotoran pada gelung kondenser akan mengurangkan kecekapan peti sejuk
• Susun makanan di dalam peti sejuk supaya ada ruang di sekelilingnya bagi membolehkan pengaliran bebas udara. Sentiasa sejukkan makanan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
• Elakkan daripada kerap membuka ataupun sengaja membiarkan pintu peti sejuk terbuka.
Penyejuk Beku Penyejuk beku seeloknya sentiasa penuh bagi mengelakkan pembentukan ais. Untuk memastikan penyejuk beku digunakan dengan cekap:
• Gunakan pembalut dan bekas kedap udara dan wap apabila menyimpan makanan yang ingin disejuk beku bagi mengelakkan makanan menjadi kering.
• Sebelum membuka penyejuk beku kenal pasti barangan yang diinginkan. Membuka pintu berulang kali akan membazirkan tenaga.
• Nyah fros penyejuk beku apabila terdapat fros setebal 6 mm (1/4 inci).

No comments:

Post a Comment